Graduan Terlajak Hairan Jalan Berlenggang Lupa Amik Skrol, Habis Tersembur Rakan Ketawa

289

Bukan kerana pelakon atau selebiriti muncul di pentas, tapi Dewan Taming Sari di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Melaka di Lendu, Alor Gajah, tetap kecoh baru-baru ini.

Keriuhan dan gelak tawa hadirin di dalam dewan pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-90 itu gara-gara seorang graduan lelaki terlupa untuk mengambil skrol apabila tiba gilirannya berjalan di atas pentas.

Pemuda berusia 22 tahun itu terlajak berjalan dan kemudian berpatah balik mengambil skrol yang disampaikan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad.

Graduan berkenaan, Mohamad Azam Juraimy Azhar berkata, ketika insiden berlaku dia berasa gemuruh sehingga hilang tumpuan semasa gilirannya mengambil skrol di atas pentas.

Graduan dari UiTM Melaka

Mohamad Azam merupakan graduan Diploma Fotografi dan Pengimejan Kreatif dari UiTM Melaka.

Mengimbas kembali insiden yang berlaku pada Rabu lalu, dia mengakui tidak hadir pada acara raptai menjadi antara punca dia gementar.

“ Acara raptai pada Selasa, tapi saya ada kelas (menyambung pengajian di UiTM Puncak Alam di Kuala Selangor, Selangor) pada Isnin. Jadi, saya dan kawan-kawan hanya bertolak ke UiTM Melaka pada pagi Selasa untuk mengambil jubah dan menyertai raptai.

“ Walaupun kami bertolak awal pukul 8 pagi dari Puncak Alam, Shah Alam, tapi disebabkan kesesakan lalu lintas akibat kemalangan kenderaan lain semasa perjalanan, kami hanya tiba di Melaka pada tengah hari.

“ Jadi, kami tak sempat ke acara raptai pukul 10.30 pagi dan hanya mengambil jubah,” kata graduan Diploma Fotografi dan Pengimejan Kreatif UiTM itu kepada mStar.

Pada hari majlis konvokesyen, Mohamad Azam sempat bertanya rakan-rakan lain yang hadir pada acara raptai, mengenai persediaan yang perlu dilakukan apabila di atas pentas untuk mengambil skrol.

Segan dan gemuruh punya pasal

Rasa segan dan bertambah gemuruh, saya langsung tak fikir reaksi pro canselor masa ambil skrol tu. Saya cuma dengar ramai ketawa.

“ Saya ada tanya, tapi macam-macam maklumat yang saya dapat. Dalam keadaan yang gemuruh, saya jadi keliru.

“ Sudahnya, saya jalan tunduk sambil tarik nafas sebab tak tahu nak reaksi macam mana. Memang hilang fokus masa tu, hanya Tuhan saja yang tahu betapa gementarnya saya,” ujarnya yang menetap di Cheras, Selangor.

Mengakui gementar di atas pentas, Mohamad Azam berjalan sambil memandang ke bawah.

Semasa berjalan di pentas sambil tunduk, anak keempat daripada enam beradik itu tiba-tiba tertanya-tanya mengapa dia hanya jalan berlenggang, tangan kosong tanpa memegang skrol.

“ Hati saya berkata, ‘Eh! Mana skrol? Bukan ke aku naik pentas nak ambil skrol’. Lepas tu barulah saya sedar saya terlajak ke depan, dan cepat-cepat patah balik ke depan pro canselor.

“ Rasa segan dan bertambah gemuruh, saya langsung tak fikir reaksi pro canselor masa ambil skrol tu. Saya cuma dengar ramai ketawa,” katanya.

Sebaik turun pentas, ibunya datang memeluknya dan bertanya mengenai insiden yang berlaku, dan dia memberi alasan kerana gementar.

” Mak tanya kenapa tak ambil skrol tu, saya hanya jawab ‘nervous’,” katanya.

Mohamad Azam (kanan) kini menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Fotomedia Kreatif (Kepujian) di UiTM kampus Puncak Alam.

Mohamad Azam yang kemudian menonton rakaman insiden itu berasa lucu dengan tindakannya sehingga rakan-rakan memberitahu bahawa sambutan terhadapnya lebih riuh, berbanding sewaktu graduan yang menerima pencapaian tertinggi, Anugerah Naib Canselor (ANC).

“ Ramai panggil saya ‘graduan terlajak’ dan saya hanya tergelak saja. Apapun, saya jadikan pengalaman itu sebagai pengajaran.

“ Harapnya, untuk konvo seterusnya tak akan berulang lagi. Tak mahu dah jadi graduan terlajak lagi,” katanya secara berseloroh sambil menambah dia kini menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda Fotomedia Kreatif (Kepujian) Tahun Pertama di UiTM kampus Puncak Alam.

Lihat video di bawah

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Sumber : mstar

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here