“Saya Minta Sangat Rakyat Malaysia Semua Sekali, Selepas 9 Malam Ini” – Ini Permintaan Sebak Ibu Acap

173

“SAYA minta sangat rakyat Malaysia semua sekali, selepas 9 malam ini, tolong sedekah Ayat Kursi untuk Mohammad Ashraf, saya minta sangat, cukuplah itu saja yang saya minta,” kata Siti Maznah Khamis, 58, ibu kepada Mohammad Ashraf Hassan, 29.

Menurut Siti Maznah, dia kini menyerahkan kepada ketentuan Allah untuk mempertemukan anaknya itu selepas semua pihak sudah berusaha dan berhempas pulas dalam usaha mencari Mohammad Ashraf.

“Meredah hutan belukar, menuruni sungai, melalui bukit, gua semua sekali, cukup dah, kita rasa usaha itu sangat-sangat besar untuk mencari anak saya, selebihnya berserah kepada Allah.

“Di mana noktahnya itu hanya Allah yang tahu, kita memang tiada daya dan tidak tahu noktahnya di mana, kita akan terus berdoa,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Kampung Pintu Padang di Gopeng, hari ini.

Menurut Siti Maznah, Mohammad Ashraf atau lebih mesra dengan panggilan Acap adalah anak yang baik dan menghormati ibu bapa serta ahli keluarga yang lain.

Katanya, kehilangan anaknya itu adalah ujian serta dugaan kepada keluarganya dan mereka menerima perkara itu dengan hati terbuka.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat yang membantu mencari anak saya, kepada agensi mencari dan menyelamat serta sukarelawan.

“Orang kata mereka adalah pejuang tidak didendang tapi saya akan dendangkan mereka dengan doa,” katanya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan netizen di laman sosial kononnya Acap didakwa pernah hilang beberapa kali sebelum ini, Siti Maznah berkata, anaknya itu tidak pernah hilang dan sudah mengikuti pelbagai aktiviti lasak termasuk di Lombok, Indonesia.

Sementara itu, bapa tiri Acap, Sukar Rashid, 57, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam usaha pencarian itu dan jasa mereka tidak mampu dibalas olehnya.

Menurutnya, bagi pihak keluarga, dia turut mengucapkan terima kasih kepada pegawai dan anggota JBPM Perak yang menyediakan tempat tinggal kepada mereka sepanjang usaha pencarian Ashraf.

Penduduk kampung minta nak cari sendiri Acap

PENDUDUK kampung di Gopeng, Perak meminta agar polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mencari Mohd Ashraf Hassan atau Acap menangguhkan operasi tersebut buat sementara waktu.

Penduduk kampung membuat permintaan itu kerana mahu menjalankan operasi mereka sendiri untuk mencari peserta ultra maraton itu yang hilang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, penduduk kampung berharap agar mereka dibenarkan melakukan pencarian mereka sendiri.

“Kita diberitahu kes yang sama pernah berlaku sebelum ini. Penduduk kampung berjaya mencari orang yang hilang, menggunakan cara mereka,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan pusat operasi SAR Kampung Pintu Padang di Gopeng, pada Selasa.

Zuraida berkata, beliau bersetuju dengan permintaan penduduk kampung.

“Perbincangan antara polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat akan diadakan untuk menentukan bila dan berapa lama kita patut menangguhkan operasi,” katanya.

Mohd Ashraf Hassan hilang semasa menyertai maraton Gopeng Ultra Trail pada 23 Mac lalu.

Operasi SAR kini memasuki hari ke-25.

Zuraida memberitahu, satu keputusan berhubung perkara tersebut akan dibuat pada Rabu.

“Kita semua berharap Acap dapat ditemui selamat,” katanya. – The Star

Sumber : Metro

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here