Tak sia-sia kejar! Ibu hamil sebak tengok trak hijau depan rumah, “Air ‘Milo lori’ takkan boleh dibeli, lima cawan saya minum”

206

Natasya Rose Nizam dipeluk erat oleh ibu mertuanya Datin Hasmazura binti Shahabuddin sewaktu kejutan trak MILO di kediaman mereka pada Rabu.

SIAPA sangka seorang ibu hamil yang mengidam air ‘Milo lori’ akhirnya berjaya memperolehi apa yang diinginkan itu apabila menerima kejutan kehadiran trak minuman tersebut di hadapan rumahnya.

Natasya Rose Nizam, 23, berkata, sepanjang hamil lapan bulan, dia sememangnya teringin untuk menghirup air Milo yang sering diagihkan melalui trak popular berwarna hijau itu tetapi tidak pernah mendapat peluang.

Bagaimanapun, apa yang diidamkan itu menjadi realiti apabila trak tersebut muncul di perkarangan rumahnya, sekitar jam 3 petang Rabu.

“Saya sangat terkejut bercampur sebak kerana saya tak sangka pihak Milo prihatin nak hantar sebuah lori Milo di depan rumah saya.

“Ketika itu saya sibuk melayan tetamu kerana rumah kami ada buat majlis makan bersama anak-anak yatim dan saudara mara pun ada datang juga,” katanya kepada mStar, petang Rabu.

Natasya menikmati minuman Milo sewaktu trak Milo datang membuat kejutan di hadapan kediamannya di Bandar Indera Mahkota, Kuantan Pahang.

Natasya berkata, selepas video mertuanya mengejar trak Milo tular, dia betul-betul tidak menyangka akan ada tindakan susulan daripada suami atau ahli keluarga yang lain dalam usaha untuk menunaikan keinginannya.

VIDEO:

Apatah lagi membayangkan trak Milo berada di rumahnya, situasi seperti itu langsung tidak pernah muncul di mindanya.

 

Saya sangat terkejut bercampur sebak kerana saya tak sangka pihak Milo prihatin nak hantar sebuah lori Milo di depan rumah saya. Ketika itu saya sibuk melayan tetamu kerana rumah kami ada buat majlis makan bersama anak-anak yatim dan saudara mara pun ada datang juga

NATASYA ROSE NIZAM

 

Mengulas lanjut, dia yang merupakan suri rumah itu berkata, suaminya dan keluarga mertuanya tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa ada satu kejutan akan berlaku walaupun mereka sebenarnya sudah membuat perancangan dengan syarikat tersebut.

“Saya tidak mengesyaki sebarang kejutan kerana ibu dan ayah mertua memang ada beritahu hari ni ada majlis makan-makan bersama anak yatim.

“Saya memang tak perasan ramai kru Milo dah ada di hadapan rumah saya sebab terlampau sibuk melayan saudara-mara.

“Tahu-tahu mereka dan berkerumun di hadapan rumah dan Alhamdulillah lima cawan Milo saya minum,” ujar bakal ibu yang hamil anak pertama ini sambil ketawa.

Permintaan Natasya sebelum ini menjadi tular di laman Twitter apabila sebuah video menunjukkan ibu dan bapa mertuanya sanggup mengejar lori Milo demi memenuhi keinginan menantu mereka itu.

Namun usaha mereka gagal kerana walaupun lori itu berhenti di bahu jalan, minuman itu tidak dapat disediakan dengan segera pada masa itu.

Maria Murni Nur Azmi (kiri) menyerahkan cenderahati kepada Natasya.

Susulan video tular berkenaan, syarikat Milo merancang membuat kejutan dengan membawa trak Milo datang ke rumah Natasya di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

Sementara itu Pengurus Pemasaran Pengguna, Unit Perniagaan Milo, Maria Murni Nur Azmi memberitahu ini merupakan kali pertama mereka mengadakan kejutan sebegini dengan menunaikan keinginan seorang bakal ibu yang mengidam air ‘lori Milo’.

“Kami berasa teruja dan gembira apabila dapat memenuhi permintaan Natasya yang telah lama mengidam untuk minum air Milo ini.

“Saya juga berharap pasangan ini akan menyambut cahaya mata yang sihat dan semuanya akan berjalan dengan lancar,” katanya yang turut turun padang dalam memberi kejutan tersebut.

Natasya dan suaminya  (berdiri, tengah) bersama kru Milo dan anak-anak yatim Rumah Taman Pengasih.

Dalam pada itu Natasya mengakui dia adalah peminat minuman Milo, tetapi Milo yang dibancuh di atas van syarikat keluarannya sendiri tidak dapat diperolehi di mana-mana kedai.

“Seperti yang kita tahu, air ‘Milo lori’ takkan boleh dibeli. Rasanya yang lain dari yang lain buatkan saya mengidam.

“Saya berterima kasih kepada Milo kerana prihatin dengan keinginan saya dan sangat berpuas hati,” katanya.

Apa yang lebih menggembirakan, bukan Natasya sahaja yang dapat menikmati minuman itu, sebaliknya anak-anak yatim dan saudara mara keluarganya juga dapat merasai keenakan Milo tersebut bersama-sama.

Suami Natasya, Muhammad Azmer Mohd Badrul Merzam serta seluruh ahli keluarganya juga mengucapkan terima kasih kepada Milo atas usaha murni mereka dalam menunaikan keinginan isteri tercintanya.

 

Sumber: Mstar

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here