Jangan kata Roti John, Beli martabak pun kami tak mampu.

366

 

KUANTAN -“Tiap-tiap hari anak minta saya belikan martabak sebagai juadah berbuka, tapi saya tak mampu,” demikian kata Nor Azuha Wan Muda, 35.

Ibu kepada empat anak ini mengakui tersentuh hati setiap kali berbuka kerana gagal memenuhi permintaan anak sulungnya, Mohd Shukri Abdullah,10.

Menurutnya, setiap hari, mereka sekeluarga berbuka dengan nasi putih dan ikan masin begitu juga pada waktu bersahur.

“Nak makan hari-hari pun ala kadar, apatah lagi nak penuhi permintaannya. Kalau dapat duit lebih baru suami mampu beli ikan dan telur. Kalau tak anak-anak makan ikan masin, nasi dengan air garam atau nasi dengan minyak ikan goreng,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Permatang Badak, hari ini.

Nor Azuha bersama keluarganya menetap di bangsal itu sejak 11 tahun lalu.

Nor Azuha berkata, perbelanjaan harian sekeluarga ditanggung oleh suaminya, Mohd Hussien Abdul Shukor, 35, yang bekerja sebagai penjual barangan terpakai.

Katanya, pendapatan harian suaminya tidak mampu untuk menunaikan keinginan anak-anak meskipun untuk membeli sekeping murtabak yang berharga RM5 di bazar Ramadan.

“Suami dapat gaji hari, kalau ada barang dia (suami) jual dapatlah RM40 hingga RM50 sehari, itu kalau ada barang yang hendak dijual.

“Kalau dia balik tangan kosong terpaksa saya masak nasi sahaja untuk anak,” katanya.

Sungguhpun berdepan dengan kesukaran hidup, Nor Azuha berkata, anaknya-anaknya tidak pernah merungut, sebaliknya menerima apa sahaja yang mampu disediakan oleh ibu dan bapanya.

Jelasnya, persiapan raya anak-anak juga masih belum difikirkan buat masa ini.

Inilah tempat Nor Azuha memasak dan membasuh.

Bagaimanapun, dia berharap agar ada sumbangan daripada mana-mana pihak untuk menyediakan persiapan raya buat empat anaknya itu.

Nor Azuha berkata, walaupun dia menerima zakat RM400 sebulan, bantuan terbabit hanya cukup untuk membeli keperluan dapur selama sebulan.

“Bila dapat bantuan zakat, saya guna duit itu untuk beli barang keperluan dapur. Kalau tak anak-anak tak dapat makan.

“Duit gaji suami pula digunakan untuk beli barangan keperluan harian dan anak sekolah,” katanya.

Dalam kesedihan itu, kediaman yang dihuni enam beranak ini cukup daif dan mereka menjadikan bangsal usang sebagai tempat untuk mereka berteduh.

Dia sudah menetap di bangsal terbabit sejak 11 tahun lalu, selepas ia dibina oleh arwah bapanya, Wan Muda Wan Omar.

Nor Azuha berkata, kemiskinan hidup menyebabkan dia tidak mampu membaiki bangsal yang didiaminya itu.

“Bangsal ini tak sempurna, atap bocor. Kalau hujan kami semua basah, lantai dah reput sebab dah lama tak berganti.

Nor Azuha mengunakan dapur arang bagi memasak.

“Walaupun bangsal ini teruk tapi inilah satu-satunya kediaman yang saya ada dan tak perlu bayar sewa secara bulanan,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Azuha berkata, dia pernah mendapat tawaran untuk tinggal di Flat Pak Mahat, tetapi terpaksa menolak tawaran itu.

Menurutnya, suaminya tidak mampu untuk membayar sewa rumah sekitar RM200 sebulan.

“Daripada berhutang disebabkan tak boleh bayar sewa, lebih baik saya tinggal di bangsal ini walaupun tak sempurna.

“Sekurang-kurangnya ada duit RM100 atau RM200 boleh saya membeli barang keperluan anak-anak,” katanya.

Dia juga berharap ada pihak yang sudi membantu membina rumah untuknya di atas tanah pusaka arwh bapanya itu.

Sumber: sinarharian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here